SALAM UKHWAH DARI KAMI PSS SMA REMBAU

Saturday, February 6, 2010

Sikap Ambil Mudah Undang Kecelakaan



Oleh Nor Azma Laila dan Samsudin Oli
Mohamad
norazma@bharian.com.my

Fenomena pelajar menunggang motosikal tanpa lesen yang sah serta tidak memakai topi keledar ke sekolah dilihat semakin membimbangkan. Ia bukan saja menyalahi peraturan jalan raya, malah membahayakan keselamatan pelajar serta pengguna lain.
Berikutan keadaan yang tidak terkawal terutama di kawasan luar bandar,TimbaIan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dilaporkan memberi amaran pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen di kawasan sekolah boleh dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang atau digantung sekolah.
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah berkenaan, antaranya sikap ambil mudah pelajar dan ibu bapa, kekurangan pengangkutan awam terutama di kawasan luar bandar serta kurangnya kesedaran mengenai undang-undang jalan raya.
Didapati pelajar bukan sahaja menunggang tanpa lesen, malah tidak memakai topi keledar untuk keselamatan diri.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata masalah itu sudah lama dibangkitkan, namun kesalahan masih berulang dan pelajar seolah-olah tidak belajar daripada kejadian yang sering dilaporkan yang membabitkan kemalangan.
“Peraturan menetapkan individu berusia 16 tahun ke atas layak mendapat lesen B2 bagi membolehkan mereka menunggang motosikal,” katanya. Solah berkata, kesalahan itu sepatumya tidak berlaku kerana sebahagian besar pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen ialah mereka yang berada di sekolah menengah iaitu sekitar 16 hingga 17 tahun dan layak mengambil lesen motosikal.
Katanya, JPJ akan mengenakan tindakan tegas kepada penunggang dengan kompaun maksimum RM300.Tindakan bertujuan menyedarkan pesalah kerana tindakan mereka menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Bagi mengurangkan statistik kemalangan yang berpunca daripada penunggang motosikal, katanya, JPJ mengadakan program Satu Komuniti Satu JPJ dengan menggalakkan penduduk kampung mengambil lesen B2 yang dikurangkan kadar bayarannya kepada RM21 1 sempena 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Julai tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN),Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata antara faktor masalah pelajar itu ialah ibu bapa yang mengambil sikap sambil lewa mengenai keselamatan anak masing-masing.Beliau berkata, ada segelintir daripada mereka terlalu manjakan anak hingga sanggup memenuhi permintaan termasuk membelikan motosikal, membenarkan mereka menunggang tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.
“Masalah ini sering berlaku di kampung kerana kebanyakan ibu bapa mengambil jalan mudah tidak perlu bersusah payah menghantar anak ke sekolah katanya.
Mohamad Ali berkata, masalah itu perlu diatasi segera sebelum mendatangkan kesan buruk, dikhuatiri akan membawa kesan negatif termasuk terbabit dalam aktiviti lumba haram.
Pihak sekolah juga katanya, perlu memainkan peranan dengan menyediakan program kesedaran mengenai keselamatan jalan raya yang boleh dijayakan menerusi sesi ceramah bersama JPJ atau polis.


sumber: Skor/Berita Harian