Saturday, February 6, 2010
Aliran Teknik, Vokasional berbeza
OLEH ZABIDI HITAM DAN NURUL NADIA MOHD
KAMARUZAMAN
bhminda @bharian.com.my
Lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) biasanya keliru untuk memilih aliran ke tingkatan empat. Ramai didapati terpengaruh dengan ajakan kawan sama ada mengikuti airan sains, sastera, teknik atau vokasional. Ada juga yang terpaksa mengikut arahan ibu bapa, tanpa kerelaan diri. Malah yang lebih teruk, ada yang tidak mampu membuat keputusan menyebabkan ramai yang berputus asa sebelum sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini menyebabkan mereka gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, sekali gus tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi yang dihajati. Masalah paling ketara dihadapi pelajar yang ingin mengikuti jurusan kemahiran apabila tidak dapat membezakan aliran vokasional dengan teknik. Sebenarnya,sekolah teknik menekankan aspek teknikal (teori) manakala vokasional menekankan kepada kemahiran(praktikal).
Sehubungan itu, pelajar perlu membuat pilihan tepat kerana masa depan kerjaya mereka bergantung kepada ketepatan pemilihan jurusan pada peringkat menengah tinggi. Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah Menengah, Jabatan Pelajaran Kedah,Jasmi Md Kechik, berkata pendidikan teknik dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik pada peringkat PMR, Beliau berkata, aliran teknikal menyediakan tujuh kursus, aitu Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Perdagangan, ERT Pengurusan Makanan, ERT Pengajian Pakaian dan Pertanian.
“Pelajar aliran teknikal menduduki enam mata pelajaran teras pada peningkat SPM, di samping mata pelajaran elektif Teknikal dan Sains. “Setelah tamat pengajian di Sekolah Menengah Teknik, pelajar berpeluang melanjutkan pelajaran ke peningkat yang lebih tinggi di peningkat diploma di universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi teknikal, kolej matrikulasi umum atau tingkatan enam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bagi aliran vokasional pula, ia menawarkan peluang kepada pelajar yang mendapat keputusan baik dan sederhana dalam akademik dan berminat pembelajanan bercorak vokasional. Isi kandungan aliran vokasional mempunyai komponen teori dan praktikal yang seimbang.
Objektif aliran ini adalah untuk membantu melahirkan separa profesional (juruteknik/pembantu teknik) dalam bidang kejuruteraan dan bukan kejuruteraan. “Aliran vokasional menyediakan 18 kursus, iaitu Pengaturcaraan Komputer, Automotif, Elektrik dan Elektronik, Fesyen, Katering, Pelancongan, Pengurusan Teknologi Pejabat, Pengurusan Perniagaan, Penyejukan dan Penyamanan Udara, Amalan Bengkel Mesin, Kimpalan, Binaan Bangunan, Seni Kecantikan, Perkhidmatan dan Perkembangan kanak-kanak, Bakeri, Hortikultur Hiasan dan Lanskap, Kejenteraan Ladang dan Pengurusan Ladang,” katanya.
Pelajar aliran vokasional akan mengambil enam mata pelajaran teras, di samping dua mata pelajaran elektif vokasional. Setelah tamat pengajian, pelajar berpeluang ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran awam dan swasta atau terus ke alam pekerjaan.
Kurikulum di sekolah menengah teknik dan vokasional juga lebih meliputi kemahiran asas untuk pekerjaan dan pendidikan serta bertanggungjawab memenuhi keperluan dan harapan semua pelajar mengikut kebolehan masing-masing. Sehubungan itu, pelajar harus bijak dalam memilih jurusan apa yang diminati yang boleh menentukan cita-cita masa depan. Apabila sudah mengetahui minat dan cita-cita, mudahlah untuk menentukan aliran yang sesuai.
sumber: Skor/Berita Harian